REMAJA yang lincah pastinya akan memilih pakaian yang memudahkan mereka untuk melakukan bermacam-macam aktiviti. Potongan baju yang ringkas, berseluar mahupun mengenakan gaun pendek menjadi pilihan golongan ini asalkan ia selesa dan senang digayakan.
Pakaian pula harus dilengkapi dengan aksesori seperti beg tangan, topi, gelang besar, tali pinggang untuk menambah lagi gaya serta penampilan.
Lumrah remaja mahukan sesuatu yang segar dan bertenaga seperti mereka. Justeru, pemilihan warna pakaian juga menjadi faktor utama bagi remaja yang memilih untuk bergaya.
Butik-butik di Square Room yang terletak di Plaza Sri Hartamas, Kuala Lumpur, adalah pilihan yang tepat untuk kebanyakan remaja di Malaysia yang ingin bergaya mengikut aliran fesyen terkini.
Ini kerana, fesyen-fesyen yang telah dipilih oleh pemilik butik di sana, menepati dan mengikut aliran fesyen terkini dari negara Asia dan Barat. Malah butik ini menawarkan pelbagai pilihan dilengkapi dengan aksesori serta sepatu yang sepadan.
Harganya pula tidak menjadi masalah kerana berada dalam lingkungan yang mampu dimiliki oleh kebanyakan remaja hari ini.
Bagi yang tidak tahu, Square Room menempatkan beberapa butik di bawah satu bumbung dan juga bawah satu pengurusan.
Butik-butik ini memberi pelbagai jenis fesyen pilihan dan kini didapati seakan menjadi trend remaja untuk menjurus ke arah zaman retro. Ia dapat dilihat dari aspek potongan, warna, motif kain dan solekan semuanya kembali menjadi pilihan masa kini.